BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

07 September 2010

MASIH SEDIKIT RASA SYUKURKU KEPADAMU


Ketika menjawab kertas soalan Electromagnetism dalam peperiksaan akhir baru-baru ini, satu perkara berlaku kepada seorang hamba Allah ini yang membuatkan dia semakin yakin dengan pertolongan Allah s.w.t. Ketika sedang menjawab soalan, hampir kesemua soalan berjaya dijawab. Hanya tinggal beberapa soalan lagi yang belum berjawab. Setelah beberapa jam berlalu, tinggal satu lagi soalan yang belum dijawab. Hamba Allah ini benar-benar buntu. Pelbagai  perasaan muncul.
“ Aku rasa macam pernah buat soalan ni.”
“ Macam mana nak start jawab soalan ni? “
Tiba-tiba hamba Allah ini teringat pesanan arwah ayahnya.
“ Masa exam, kalau tak ingat apa yang kita dah baca, cuba selawat pada nabi, InsyaAllah boleh ingat balik.”
Lantas hamba Allah ni selawat tak putus-putus. Tiba-tiba akal terbayang satu cara bagaimana nak selesaikan soalan tersebut. Lantas tangan bergerak selari dengan apa yang akal bayangkan. Akhirnya siap juga pengiraan yang dibuat. Selepas tamat, hamba Allah ini terus menutup soalan tadi kerana bimbang datang pula perasaan was-was dengan jawapan tadi. Kata orang, dalam exam, lintasan pertama itu kata hati, lintasan kedua sudah jadi bisikan syaitan.
Maka selepas peperiksaan berakhir, cepat-cepat hamba Allah ini tengok jalan kira sebenar. Alhamdulillah. Betul la jalan kira yang dia buat tadi. Semasa perjalanan pulang di dalam bas, hamba Allah ni tak putus berfikir, macamana boleh terbayang jalan kira tadi. Rasa seperti sangat mustahil untuk hamba Allah ini terfikir cara pengiraan tadi dalam masa yang singkat. Namun, harus percaya dan yakin, Allah s.w.t mampu lakukan apa saja samada perkara itu mustahil atau tidak. Dia yang meringankan yang berat, Dia yang memungkinkan kemustahilan dan Dia jua yang menciptakan keajaiban. Apa lagi kalimah yang layak diucap selain kalimah suci Alhamdulillah.
Bercakap tentang kalimah Alhamdulillah ini, pasti ia berkait rapat dengan rasa syukur seorang hamba kepada penciptanya. Usrah terakhir minggu lalu berjalan dengan begitu pantas rasanya, naqibah kami tidak banyak bercakap tetapi lebih fokus kepada perkongsian antara ahli usrah. Satu soalan yang ditanya naqibah kami adalah, apa yang buat kamu rasa bersyukur sepanjang usia kamu. Jawapan dari ahli usrah berbeza-beza. Ada yang bersyukur kerana ibunya pernah berkata, dialah anak yang paling senang dibesarkan kerana rezekinya murah. Daripada sekolah dia dapat biasiswa sampai masuk JAD pun sepenuhnya ditanggung. Ada yang bersyukur kerana sejak kecil dibesarkan oleh keluarga yang amat mementingkan pengamalan Islam dalam kehidupan. Ada yang yang bersyukur kerana sepanjang hidup dia rasa dia dikelilingi oleh orang yang baik-baik. Namun majoriti daripada kami punya jawapan yang sama,kami bersyukur kerana  ketika zaman remaja yang mencabar ini Allah tempatkan kami di JAD.
Di JAD ini rata-rata pelajarnya sangat kukuh dari segi pengamalan Islam dalam kehidupan seharian. Selain belajar, yang lelaki tak lupa solat jemaah di masjid. Yang wanita ditekankan tentang kewajipan menutup aurat. Usrah berjalan setiap minggu. Saya tidak pasti bagaimana suasana di IPT lain. Tapi saya cukup bersyukur dengan gaya hidup di JAD. Bukan mudah kita nak gadaikan masa enjoy di zaman remaja ini dengan menghadiri majlis-majlis ilmu. Tapi di JAD ini banyak info tentang majlis-majlis ilmu malah ramai rakan yang tak jemu mengajak untuk menyertai membuat saya rasa senang berdamping dengan mereka.
Namun itu semua bakal tinggal kenangan apabila saya dan 78 orang rakan lagi bakal melanjutkan pelajaran ke Jepun akhir Mac tahun ini, InsyaAllah. Secara jujurnya perasaan yang ada ketika ini adalah, takut dan bimbang. Bimbang terikut dengan kebebasan cara hidup disana. Bilangan rakan yang nak tegur perbuatan kita juga akan berkurang. Keselesaan tempat solat pasti sukar untuk kita nikmati lagi. Disana nanti tidak ada lagi orang yang akan ingatkan kita untuk solat diawal waktu. Tempat solat juga akan sering bertukar-tukar mengikut dimana kita berada. Mampukah kita bertahan dengan suasana seperti itu? Lain benar suasananya di TBP ini. Ada surau, dalam surau terbentang karpet merah, atas karpet pula terbentang sejadah. Paip untuk ambil wuduk bersusun-susun tersedia di ruang depan surau. Apabila masuk waktu pasti ada rakan yang ajak kita turun berjemaah di surau. Disana nanti suasana cukup berbeza. Nak ambil wuduk pun susah rasanya. Ketika itu hanya iman dan kekuatan hati yang boleh buat kita jadi muslim yang benar-benar taat kepada penciptaNya. Kerana orang yang beriman tidak pernah rasa Islam ini membebankan.
Kenapa saya takut sangat dengan masa depan? Kerana manusia memang cepat lupa. Saya bagi contoh terdekat. Apabila tiba musim peperiksaan, semua orang solat diawal waktu, tak putus berdoa, al-quran tak lepas dari tangan, masa digunakan sepenuhnya untu belajar. Apabila tamat saja peperiksaan, semua ini belum pasti kita buat dengan istiqamah dengan alasan nak ganti masa tidur yang kita korbankan dulu. Malah saya sendiri rasa peperiksaan adalah satu medan yang mampu mendorong manusia yang mendekati Allah s.w.t, satu medan yang mendorong manusia menjadi muslim yang hebat dimana waktu solatnya diawal waktu, masanya terisi dengan menuntut ilmu. Satu medan yang meningkatkan rasa tawakal seorang hamba kepada penciptaNya. Mungkin itulah hikmah peperiksaan dibuat dalam hidup kita. Namun sifat mudah lupa yang ada dalam diri manusia seringkali menghalang manusia untuk istiqamah.
Susahnya nak istiqamah menjadi muslim yang baik. Takut apabila banyak cerita-cerita yang dirasakan mustahil tetap berlaku sekarang. Penyanyi nasyid bertukar menjadi lelaki lembut, rakan yang dulunya bertudung sekarang tidak lagi. Rakan yang bertudung tetapi sampai saja diluar negara tiada lagi tudung dikepalanya. Semua itu sudah berlaku. Itu tandanya manusia mudah berubah. Bimbang juga cita-cita tidak menjadi kenyataan. Saya memasang cita-cita berkahwin dengan lelaki yang punya tarbiah yang sama supaya lepas kahwin nanti saya masih boleh ikuti usrah supaya saya boleh mengubah diri saya menjadi seorang muslim yang baik hingga akhir hayat saya. Namun mampukan saya capai cita-cita saya itu. Nak istiqamah pakai tudung yang sedikit labuh pun sukar untuk saya buat. Bagaimana pula akan jadi dengan masa depan kita jika kita tak mula berdoa dari sekarang. Berdoalah supaya Allah menetapkan hati kita untuk terus mentaatiNya walau di mana bumi dipijak. Berdoalah supaya Allah tak pesongkan hati kita setelah kita diberi hidayah. Berdoalah Allah memelihara kita untuk menjadi hamba yang diredhai hingga akhir nafas  kita. Berdoalah agar mati kita dalam husnul khatimah.
Rasulullah berkata: “ Allah itu santun dan pemurah, Dia segan pada hambaNya, sekiranya hambaNya mengangkat kedua-dua tangan dan memohon kepadanNya, Dia membiarkan kedua-dua tangan hambaNya itu kosong ( tidak dimakbulkan)”
Sebelum berangkat ke Jepun, tuntutlah sebanyak-banyak ilmu di Bumi Malaysia supaya disana nanti kita tak jadi manusia yang hidup dalam kekeliruan. Tuntutlah ilmu supaya kita yakin untuk beribadat kepada Allah disana nanti. Tuntutlah ilmu supaya segala kesulitan disana nanti dapat kita selesaikan mengikut cara yang Allah redhai. Article ini bukan dituju untuk rakan seperjuangan saya sahaja, malah saya kongsi juga bersama junior-junior dan pembaca-pembaca Azzariyat semua.
“ Ya Allah, Engkau tahu betapa bertatihnya hamba dalam meniti jalan ke syurgaMu. Betapa banyak peluang kebaikan yang ku abaikan. Maafkan hamba Ya Allah, kerana meskipun berlalu usia dalam bilangan yang banyak, masih sedikit rasa syukurku padaMu”

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...