BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

21 September 2010

Si dia… antara komitmen dan harapan


Berlalunya musim cuti sekolah baru-baru ini, sinonim dengan musim walimah di serata Malaysia. Tak terkecuali juga bagi kami menghadiri walimah beberapa sahabat seperjuangan terdekat dan juga saudara mara.
Memenuhi jemputan walimah adalah penting bagi mereka yang memahami tuntutan memenuhi jemputan. Di samping itu, bagi suami isteri yang bijak dalam mencari idea dalam mencetuskan ilham untuk memperbaharui niat anda dalam berbait muslim, juga boleh menjadikan walimah sahabat-sahabat kita sebagai satu ingatan akan ikrar itu.
Mithaqan ghalizho (perjanjian yang sangat berat) yang disebut dalam al-Quran hanya sebanyak 3 kali dan ianya merujuk kepada 3 perjanjian yang berbeza. Dua daripadanya adalah berkenaan perjanjian tauhid dan hanya satu merujuk kepada ikatan perkahwinan. Nah, perhatikan betapa berat ikrar yang disandarkan kepada bait muslim.
Pernah seorang sahabat bertanya pada saya, apabila dia dikhitbah (dipinang) oleh seorang ikhwah yang lebih muda darinya akan bagaimana keadaannya setelah saya berkahwin dengan suami yang lebih muda berbanding saya. Apakah kayu ukur yang saya letakkan. Lalu tersenyum dan ringkas menjawab:
“Tak pernah ada masalah kerana berbezanya umur, yang ada pun bukan kerana dia lebih muda. Kalau nanti-nanti ada, tak tahulah. Bagi saya, selagimana dia berfikir bersungguh-sungguh untuk da’wah, kematangannya akan menjangkaui umurnya.
Bagi yang belum berkahwin, rata-ratanya akan sedikit sebanyak pesimis menerima lamaran kerana alasan ‘masih belum kenal’Teringat akan tulisan Muhammad Fauzil Adhim dalam bukunya, Kado Pernikahan dalam bab memperhatikan agama ketika mempertimbangkan pinangan, beliau memetik kata-kata Al-Hasan r.a ketika ada orang bertanyakan kepada Al-Hasan r.a mengenai calon suami puterinya.
“Kamu mesti memilih calon suami (puterimu) yang taat beragama. Sebab, jika dia mencintai puterimu, dia akan memuliakannya, Dan jika dia kurang menyukai (memarahinya), dia tidak akan menghinakannya.”
Juga ingin saya petik hadith dari Rasulullah SAW, ketika seorang sahabat bertanya bagaimanakan jika calon mempunyai kecacatan atau kekurangan. Maka Rasulullah menjawab dan mengulang-ulangnya sebanyak 3 kali:
“Jika datang kepada kalian orang yang bagus agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan puterimu)!”
Satu kayu ukur yang disarankan Rasulullah sudah cukup jelas untuk kita ambil kira dalam mempertimbangkan calon pasangan. Perhatikanlah pada agama dan akhlaknya. Kerana akhlak yang bagus adalah tanda bagusnya agama seseorang itu, malah ianya adalah petanda yang lebih baik dari banyaknya pengetahuan agama. Orang yang mempunyai ilmu yang luas bukanlah satu jaminan untuk memiliki cinta yang besar pada agama. Begitu juga orang yang hebat ibadahnya, belum tentu punya akhlak yang bagus.  Namun, apabila cinta pada agama sudah mempengaruhi jiwa, sementara hatinya sudah cenderung pada akhlak yang mulia, insyaAllah dia akan mudah menerima kebenaran dan menghiasi diri dengan kebajikan.
Di satu sudut yang lain, kita punya harapan yang sangat tinggi dalam bait muslim (keluarga muslim) kita. Harapan untuk sama-sama mengabdikan diri pada Allah, harapan untuk menjadikan bait muslim kita sebagai satu loncatan dalam menegakkan da’wah yang merupakan satu agenda yang perlu dititikberatkan. Kerana itu, kita meletakkan ‘syarat’ dalam menentukan siapa yang kita pilih. Tidak ketinggalan, bentuk fizikal mengikut citarasa, rupa paras, ketinggian ilmu dan kehebatan agama, keserlahan di medan amal, lebih tua (bagi calon lelaki) supaya lebih banyak ilmu dan matang, atau lebih muda (bagi calon perempuan) supaya lebih manja atau senang dijaga atau menurut kata, semuanya menjadi ukuran.
Pasti, semua kesempurnaan yang kita inginkan dari calon pasangan mestilah hampir 100% lengkap menurut senarai kriteria pasangan idaman.  Alasannya, mungkin bagi lelaki, seperti dalam buku Men from Mars, Women from Venus, cinta lelaki dan wanita sama maksudnya, cuma cinta wanita bermula dari senangnya pada perangai, budi bicara atau gentlemannya manakala bagi lelaki cinta itu bermula dengan pandangan mata (mesti sedap dipandang mata), baru akan turun ke hati. Tempat akhirnya sama cuma permulaannya berbeda. Atau juga, pada pandangan kita, kriteria itu semua penting untuk menjamin rasa cinta berpanjangan atau ilmu yang banyak untuk membawa keluarga dan da’wah.
Hampir-hampir kita tidak menemukan pasangan yang lengkap kesempurnaan demi mencapai harapan dan cita-cita yang kita dambakan. Bukan salah, malah harapan itu suci dan benar sekali, untuk agama. Solusi bila kita berhadapan dengan persoalan kesempurnaan adalah komitmen. Jadilah kita orang yang mempunyai komitmen yang tinggi untuk saling memperbaiki, saling menolong dan meningkatkan ketakwaan pada Allah. Ada banyak beza antara komitmen dan harapan. Adapun komitmen akan mendorong kita untuk lebih mampu menerima seadanya tapi pada masa yang sama juga untuk sentiasa mencapai tahap yang lebih baik. Ini akan menjamin bait muslim yang kita bina makin bertambah baik seiring dengan ilmu dan kefahaman pada agama. Adapun, tingginya harapan akan cepat membuatkan kita lebih peka pada kekurangan. Bila adanya akhlak, agama dan kuat komitmen, nescaya rumah akan terbina dengan penuh indah, kehangatan cinta yang menjadi impian setiap insan.
Permudahkanlah, jangan mempersulitkan urusan bait muslim anda. Pernikahan merupakan anugerah dari Allah untuk mengikat antara lelaki dan wanita dalam kesucian. Di dalamnya ada satu tempat yang hebat dan indah, tidak akan dirasai bagi orang-orang yang tidak bernikah. Tidak mampu digambarkan bagi mereka yang hanya menjenguk-jenguk dari luar tingkap atau membaca-baca saja di buku-buku. Masuklah ke dalamnya dan rasailah. Di sana ada keindahan dan ketenteraman. Ada rasa cinta kepada suami isteri beserta taman yang indah. Ada permata dengan kehadiran anak-anak, juga antara yang terpenting, ada ladang untuk anda beribadat dengan tenang. Ada amal yang anda boleh lakukan dengan penuh kegembiraan dan tulus. Yang tidak akan mampu dibuat oleh orang-orang yang belum menikah.
Namun, jodoh di tangan Tuhan. Persiapkanlah diri dengan segala persiapan yang anda mampu lakukan.....

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...